RM39 juta untuk bantuan pendidikan

GONG BADAK – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) membelanjakan lebih RM39 juta untuk Program Bantuan Pendidikan di bawah Fisabilillah pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Ismail Sahaimi Wan Omar berkata, bantuan itu termasuk tiga skim baharu yang dibentuk iaitu bantuan awal pengajian dalam dan luar negara, bantuan derma siswa atau bantuan am dalam dan luar negara serta bantuan penerbangan dalam dan luar negara.

“Daripada keseluruhan skim yang ditawarkan itu, bantuan am dalam dan luar negara paling banyak dibelanjakan iaitu lebih RM25 juta yang melibatkan penerima seramai 23,691 orang.

 RM39 juta untuk bantuan pendidikan

“Maidam sentiasa prihatin dalam memastikan pelajaran anak-anak Terengganu di peringkat institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) tidak terganggu disebabkan kekangan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Waqaf dan Penghargaan Penyumbang Zakat di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Unisza Kampus Gong Badak, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi A. Latif.

Jelas Wan Ismail Sahaimi, program yang telah bermula sejak 2016 itu diwujudkan bagi memberi peluang kepada IPTA dan IPTS menyalurkan bantuan terus kepada penuntut yang menghadapi masalah kewangan agar pembelajaran mereka tidak terganggu.

“Syarat utama untuk layak mendapat pertimbangan bantuan ini adalah penuntut anak Terengganu atau telah mastautin di negeri ini tiga tahun,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *