Program Perubatan Mansoura University

    

Admin harap post ini dapat membantu adik-adik yang sedang timbang-timbang nak buat pilihan sambung belajar dalam bidang perubatan di Mesir.

Jurusan perubatan di sini menggunakan medium utama ialah Bahasa Inggeris. (kadangkala pensyarah akan menggunakan Bahasa Arab sekiranya beliau mahu buat lawak). Pembelajaran dibahagikan kepada dua fasa, pra-klinikal (tahun 1 – 3) dan klinikal (tahun 4-5).

Di Mansoura ada dua jenis program perubatan, konvensional dan problem based learning (Mansoura-Manchester Programme). Setiap universiti punyai program masing-masing, tetapi silibus dipantau oleh Kementerian Pendidikan dan Kesihatan Negara Mesir.

Apa beza keduanya? Banyak. Dari segi cara belajar, jumlah kelas, masa cuti, cara peperiksaan dan lain-lain.

Dari segi kualiti pengurusan, program mansoura-manchester adalah lebih jauh kehadapan, kerana program ini merupakan kerjasama dengan Universiti Manchester, UK. Oleh itu Universiti Mansoura sentiasa membuat research and development, mengambil aduan atau sebarang masalah secara serius agar hubungan dan akreditasi Universiti Manchester dikekalkan. Malah ketika masuk ke tahun klinikal, pelajar boleh mengikuti transfer programme ke UK (jika tak nak, tetapi mahu terus belajar di Mesir juga tiada masalah).

Manakala pengurusan programme konventional adalah agak terkebelakang kerana mungkin mereka sudah biasa dengan perangai ‘arab’, sebarang aduan biasanya tidak di ambil tindakan. Contoh aduan ialah lecturer menggunakan istilah di dalam bahasa arab, dan pelajar tidak faham sedangkan sepatutnya mereka belajar dalam bahasa inggeris. Mungkin juga mereka mengambil remeh di atas faktor yuran. Pelajar arab konvensional membayar yuran yang jauh lebih rendah dari Manchester (tetapi jika international student seperti kita, yuran adalah sama, konvensional dan manchester).

Dari segi silibus, konvensional menggunakan buku-buku yang banyak dan mereka perlu membaca dan menghadamnya hingga habis kulit ke kulit, sama seperti kebanyakan program perubatan lain di seluruh dunia. Oleh itu dari segi ilmu teori, pelajar konvensional mungkin jauh lebih terkehadapan dari pelajar manchester. Buku-buku yang banyak mereka gunakan adalah dibekalkan secara percuma oleh pihak universiti. Mereka juga menggunakan sistem setahun, iaitu peperiksaan sebenar ialah di akhir setiap tahun (pelajar manchester menggunakan sistem semester, bukan setahun). Terdapat juga sedikit exam subjek dan lain-lain. Kelas pula bermula seawal 8.30pagi dan biasanya berakhir sekitar jam 4 petang bagi pra klinikal dan bermula jam 9.30pagi – 2.00petang bagi tahun klinikal. Ini bermakna pelajar konvensional mempunyai jadual yang padat pada 3 tahun pertama dan mula ringan pada 3 tahun berikutnya. Perlu diingatkan jadual kelas ini tidak termasuk masa kelas tusyen sekiranya mahu ambil.

Berbeza bagi pelajar manchester, mereka tidak membaca dari kulit ke kulit sebaliknya mereka perlu menghabiskan sasaran (ILO-intended learning outcome) yang ditetapkan. Berdasarkan nama, problem based learning, manchester lebih terkehadapan dari sudut ilmu klinikal memandangkan silibus cuba digubal dengan konsep klinikal dan mengurangkan teori-teori yang dianggap kurang penting. Peperiksaan penilaian adalah bersifat semester, iaitu dua kali setahun. Diantaranya juga terdapat kuiz-kuiz kecil. Markah juga diambil kira dari kedatangan ke kelas, markah medical assignment yang ditetapkan dll. Buku-buku perlu dibeli sendiri dan kebanyakan rujukan akan menggunakan internet. Tahun pra klinikal manchester pula adalah lebih lenggang dan tidak sibuk (kelas mungkin bermula jam 10pagi dan berakhir jam 1petang), tetapi akan menjadi sibuk apabila memasuki tahun klinikal (kelas seawal 9pagi – 4petang).

 

Anggaran kasar jadual, tempoh belajar setahun begini :

Konvensional :

  • September – Januari : Kelas
  • Januari : Peperiksaan Pertengahan tahun
  • Januari – Februari : Cuti Musim sejuk
  • Fabruari – Mei : Kelas
  • Jun – Julai : Peperiksaan Akhir Tahun
  • Julai – September : Cuti musim panas

Mansoura-Manchester :

  • September – Disember : Kelas
  • Januari : Exam Semester
  • Januari – Februari : Cuti musim sejuk
  • Fabruari – Mei : Kelas
  • Akhir Mei : Exam Semester
  • Jun – September : Cuti musim panas

 

Bagi pelajar konvensional kebiasaannya mereka mendapat cuti (study leave) yang lama bagi mengulangkaji peperiksaan, manakala pelajar manchester hanya mendapat seminggu cuti untuk ulangkali. Tetapi secara konklusi, ianya adalah bergantung kepada cara belajar yang kita selesa dan berbeza mengikut individu.

 

Gambar Rabiatul Adawiah Sulaiman selesai poster presentation case study

 

 

Artikel ini diambil dari blog penulis : Rabiatul Adawiah Sulaiman (Rabu, 15 Julai 2015)

http://myflyingkite.blogspot.com/

Call Now Button