Belajar tinggi pada usia muda

ISU Kampus minggu ini mengupas perihal mahasiswa yang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi pada usia muda. Bermula daripada sarjana muda (ijazah), ramai penuntut dilihat berusaha menyambung pengajian mereka hingga ke peringkat ijazah sarjana hingga ke ijazah doktor falsafah (PhD).

Banyak kelebihan bagi mereka yang memasang impian untuk menyambung pengajian. Selain memberi bonus yang cukup bernilai dalam diri, penuntut itu juga punyai peluang cukup cerah dari segi mendapat pekerjaan dan menerima gaji yang cukup besar.

Pensyarah Upsi merangkap Presiden Persatuan Kaunselor Profesional Berdaftar Malaysia (Pakar Malaysia), CR Mohd Noor Idris berkata, trend sambung belajar ini bagus namun apa yang dilihat pada waktu kini, ada sesetengah mahasiswa, menyambung pengajian bukan kerana cita-cita ataupun keperluan kerjaya, tetapi  terpengaruh dengan ajakan dan pelawaan rakan.
“Situasi ini bagus kerana mewujudkan satu semangat belajar sepanjang hayat. Tetapi, golongan yang menyambung pelajaran peringkat sarjana dan PhD kerana terpengaruh dengan rakan, perlu fokus dalam pengajian dan tidak sepatutnya sambil lewa atau belajar hanya separuh jalan,” katanya dengan menasihatkan kepada mereka yang menyambung pengajian dek terpengaruh ajakan rakan agar menggunakan kesempatan belajar itu dengan sebaik mungkin.
Katanya, jadikan rakan itu sebagai model dan pendorong kepada kemajuan menamatkan pengajian yang telah dilalui. Jangan sekadar hangat-hangat tahi ayam dan berhenti pada awal ataupun di pertengahan pengajian sehingga membazirkan masa dan wang ringgit masing-masing.
Mari kita ikuti pandangan dan pengalaman kalangan rakan kampus mengenai topik ini.
Teruskan belajar selagi berminat
Budaya minat menyambung pengajian merupakan budaya amat baik untuk diterapkan kepada generasi muda. Terdapat beberapa kelebihan bila menyambung daripada ijazah sarjana muda, sarjana dan PhD. Antaranya, mereka yang menyambung terus pelajaran masih dalam momentum motivasi tinggi untuk belajar. Motivasi ini boleh menjadi faktor utama kepada kejayaan pada peringkat sarjana dan PhD.
Memiliki PhD bukan jaminan mendapatkan pekerjaan. Rata-rata syarikat swasta dan GLC tidak mensyaratkan memiliki PhD  sebagai syarat utama dalam pengambilan pekerja. Tetapi, memiliki kelayakan PhD sebagai satu bonus tertinggi kepada pencapaian individu dalam sesuatu bidang yang dipelajari dan diakui kepakarannya.
Mereka yang memiliki PhD mempunyai peluang cerah untuk terlibat dalam kerjaya pendidikan. Kebanyakan universiti awam dan swasta memerlukan pensyarah berkelayakan PhD sebagai syarat utama. Malah, universiti awam rata-rata sudah mensyaratkan memiliki PhD sebagai syarat utama dilantik pensyarah. Kerana itu, golongan muda memiliki PhD tidak perlu risau mengenai kerjaya, bahkan digalakkan untuk mereka memiliki pendidikan hingga ke tahap tertinggi.
Tiada alasan merugikan masa dan wang ringgit jika berjaya memiliki ijazah sarjana dan doktor falsafah. Bahkan pada masa bilangan mereka yang memiliki doktor falsafah masih kurang, seeloknya siswa muda merebut peluang ini walaupun ada yang mengatakan memiliki PhD pun tidak ke mana kerana akhirnya perempuan itu akan ke dapur juga.
Wanita berpelajaran tinggi akan dihormati dan disegani masyarakat jika pendidikan itu berjaya menjadikannya lebih berakhlak, berbudi bahasa dan mampu memberi manfaat kepada persekitarannya. Akhir sekali, belajar itu tuntutan agama dan belajar itu tiada penamatnya, belajarlah selagi masih diberi peluang.
Impian bergelar pensyarah tercapai
“Saya bercita-cita mahu bergelar pensyarah. Jadi, laluan untuk menjadi pensyarah, seseorang itu perlu ada ijazah sarjana dan doktor falsafah.
“Untuk mengejar cita-cita, saya harus bersemangat dan punyai minat untuk belajar. Dek semangat luar biasa itu, saya berjaya menyambung pengajian peringkat PhD pada usia 31 tahun,” kata Mohd Razlan Ahmad.
 Pensyarah sambilan Usim ini berkata, pada peringkat Sarjana Muda, dia mengikuti pengajian bidang Fiqh dan Fatwa di Usim. Kemudian, beliau ditawarkan menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana pula.
“Saya mengikuti pengajian Sarjana Peradaban Islam, UKM pada 27 tahun. Kemudian, saya mendapat tawaran Skim Latihan Akademik Bumiputera iaitu biasiswa tajaan Usim sepanjang dua tahun setengah belajar di situ. Sangat bersyukur kerana bukan mudah untuk menerima biasiswa ini. Kriterianya, perlu cemerlang dalam akademik. Bagaimanapun, saya bukanlah siswa cemerlang di kampus. Mungkin saya aktif dalam akademik dan kokurikulum dan ini antara faktor mengapa saya terpilih sebagai penerima biasiswa,” katanya Felo Siswazah (Falak Syarie) Usim,
Beliau yang kini mengikuti pengajian PhD di UKM dalam astronomi Islam berkata, dia akan tetap meneroka dan mendalami pelbagai jenis ilmu lagi.
“Untuk belia, saya puji dengan sikap mereka. Muda-muda lagi sudah ada PhD. Bila kita berjaya melahirkan ramai pakar berpengalaman, nama Malaysia juga akan gah dan dikenali ramai,” katanya.
Minat belajar faktor sambung pengajian
Graduan lulusan Ijazah Sarjana Sains Pembangunan, UKM, Siti Ramlah Rodzi, 26, berkata, dia menyambung pengajian ke peringkat sarjana dek kerana suka belajar dan teruja untuk menuntut ilmu dalam pelbagai aspek.
Anak jati kelahiran Kelantan ini berkata, keluarga merupakan insan paling banyak memberi sokongan untuk dia terus menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi.
“Bila tamat Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan di UUM selama tiga tahun, saya sudah mula berkira-kira untuk menyambung ke bidang sarjana. Walaupun ramai yang memperkatakan bidang ijazah sarjana agak sukar, namun saya tidak takut untuk menghadapi cabaran tersebut kerana saya yakin pada diri yang saya mampu lakukannya,” katanya yang menerima biasiswa MyBrains15 dan pinjaman Mara sepanjang mengikuti pengajian ijazah sarjana di UKM.  
Selain minat, banyak faktor lain yang membuatkan Siti Ramlah terus belajar.
“Kalau kita ada kelayakan akademik ‘lebih’, ia adalah satu bonus yang cukup bernilai buat diri kita terutamanya dalam usaha mencari pekerjaan.
“Ini kerana, ramai yang menghadiri sesi temu duga adalah dalam kalangan yang ada kelayakan ijazah, jadi yang ada sarjana, mungkin peluang mereka cerah,” ujarnya.
Bakal menyambung pengajian peringkat doktor falsafah nanti, Siti Ramlah berkata, kuat semangat, sabar dan minat dalam pelajaran adalah antara sebab kenapa dia pasang impian untuk belajar lagi.
“Ramai rakan saya sudah bekerja setelah tamat ijazah. Hati kadang-kadang terusik juga untuk bekerja. Namun, saya kuatkan semangat diri untuk belajar selagi saya boleh. Doakan saya terus istiqamah untuk bergelar pemegang doktor falsafah kelak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Call Now Button