Idris Jusoh Ketuai Delegasi ke Mesir Selesai Isu Pelajar

SEPANG: Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh mengetuai delegasi ke Mesir bagi mengadakan perbincangan dengan kementerian pengajian tinggi Mesir berhubung urusan pembelajaran pelajar Malaysia.

Delegasi negara seramai enam anggota itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10.50 malam Sabtu.

Anggota delegasi lain ialah Ketua Setiausaha Kedua Kementerian Pendidikan Datuk Seri Dr Zaini Ujang, Pegawai Khas Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail, bekas Duta Malaysia ke Mesir Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti, wakil Universiti Al-Azhar Kampus Malaysia Datuk Yahya Abd Jalil dan Pegawai Kanan Kementerian Pendidikan, Sektor Pengajian Tinggi (Bahagian Pendidikan Malaysia) Ibrahim Ali.


Ketika dihubungi Zaini berkata usaha sedang dilakukan bagi membolehkan Idris mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengajian Tinggi Mesir, selain rektor universiti bagi menyelesaikan beberapa perkara penting.

“Kita akan membincangkan tiga perkara penting iaitu penangguhan secara rasmi daripada sembilan universiti tempat pelajar kita melanjutkan pelajaran. “Kedua, mengatur peperiksaan ulangan bagi 1,300 pelajar (bagi pelajar yang gagal pada semester lalu) supaya ia boleh diadakan di Malaysia. Dan ketiga, membincangkan kemungkinan atau mencari alternatif jika sekiranya konflik dalaman di negara itu berterusan,” katanya.

Zaini juga yakin dapat mengadakan mesyuarat susulan selepas mesyuarat utama antara Idris dengan Menteri Pengajian Tinggi Mesir dan rektor universiti di Mesir.

“Sebagai delegasi yang mewakili kerajaan Malaysia, kita ada banyak opsyen untuk berkongsi dengan pemimpin kerajaan dan universiti di Mesir demi kebaikan dan kepentingan pelajar dan rakyat kita di sana. “Kita harap usaha ini dapat meyakinkan ibu bapa dan rakyat Malaysia keseluruhannya dan kerajaan amat prihatian terhadap keselamatan rakyat kita di Mesir.

“Pada masa sama kita juga mahu memastikan pelajaran anak-anak kita tidak terjejas disebabkan konflik di sana. Ketika di sana, kita akan berjumpa dengan pelajar dan rakyat Malaysia,” jelasnya.

Katanya delegasi Malaysia juga akan mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan, ada pelajar Malaysia ditahan pihak berkuasa Mesir kerana terbabit dalam konflik di negara berkenaan.

Selain berdoa akan keselamatan anak mereka, beliau juga berharap ibu bapa dapat menasihatkan anak mereka agar mengambil peluang disediakan kerajaan untuk membawa pulang rakyat Malaysia ke tanah air secara percuma,” katanya. -BERNAMA

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2013/8/25/mstar_berita/20130824232233&sec=mstar_berita

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Call Now Button