KUALA LUMPUR: Semua pengamal perubatan lulusan luar negara yang ingin berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), wajib melalui proses ‘Primary Source Verification’ untuk pengesahan ijazah dan transkrip mereka, berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang juga Presiden MMC, dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, proses verifikasi itu diwajibkan terhadap semua pengamal perubatan warganegara dan bukan warganegara yang merupakan siswazah luar negara, sebelum mereka didaftarkan dengan MMC.
“Ini tidak membabitkan pengamal perubatan yang telah berdaftar dengan MMC sebelum 1 Jun 2020. Kaedah ini adalah untuk permohonan baharu sahaja,” katanya.
Keperluan melalui ‘Primary Source Verification’ diputuskan pada Mesyuarat Majlis Perubatan Malaysia Ke-395, 21 Januari lalu, susulan timbul kekeliruan dalam kalangan pengamal perubatan mengenai pelaksanaan keputusan itu.
Pendaftaran dengan MMC bertujuan untuk memohon Sijil Pendaftaran Penuh, Sijil Pendaftaran Sementara, Sijil Perakuan Amalan Sementara, pendaftaran bagi tujuan pascasiswazah atau latihan klinikal pascasiswazah atau fellowship atau ‘clinical attachment’. – BERNAMA