Wujud pegawai pergigian baharu secara berperingkat

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mewujudkan jawatan Pegawai Pergigian baharu secara berperingkat bagi memenuhi harapan rakyat terhadap perkhidmatan kesihatan pergigian yang semakin meningkat serta pembangunan kemudahan kesihatan yang dinamik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada tahun ini, 391 jawatan pada gred U41 baru dan 300 jawatan kontrak bagi warganegara diwujudkan bagi menempatkan baki graduan pergigian pada tahun lepas yang belum dilantik.


“Permohonan jawatan tambahan Pegawai Pergigian akan dibuat secara berperingkat untuk graduan 2016 dan berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan sebagai mengulas laporan sebuah stesen televisyen baru-baru ini mengenai nasib graduan bidang pergigian yang terpaksa menunggu hampir setahun untuk penempatan khidmat wajib hospital kerajaan.

Dr Noor Hisham juga menafikan terdapat lambakan graduan pergigian dalam negara.

Beliau berkata, jumlah graduan yang sebahagian besarnya lulusan luar negara menunjukkan peningkatan hampir dua kali ganda sejak 2014 iaitu 245 orang pada 2013, 2014 (447) dan 2015 (482).

Namun begitu, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan unjuran keperluan Pegawai Pergigian oleh KKM, negara masih memerlukan Pegawai Pergigian.

“Dengan mengambil kira pertambahan penduduk, jangkaan bilangan graduan dan bilangan atrisi, nisbah Pengamal Pergigian kepada penduduk semasa iaitu 1:3,000 hanya akan tercapai pada tahun 2018.

“Selaras dengan itu, pembangunan dan perkembangan kemudahan KKM juga akan dikaji semula supaya tidak menjejaskan perancangan penempatan graduan pergigian untuk khidmat wajib,” katanya.

 Dr Noor Hisham berkata KKM sangat prihatin di atas isu penempatan wajib graduan pergigian baharu dan sedang memperhalusi beberapa kaedah dan pendekatan bagi menangani isu berkenaan.

Pada ketika ini, terdapat kekangan perjawatan kosong bagi Pegawai Pergigian di KKM kerana jawatan yang sedia ada hampir keseluruhannya iaitu 99 peratus telah diisi.

“Seramai 980 graduan mendaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia tahun lepas dan jumlah ini menunjukkan peningkatan yang amat ketara berbanding tahun-tahun sebelumnnya. Daripada jumlah ini, 504 graduan mendapat penempatan di KKM.

“Baki 476 telah menunggu selama enam hingga sembilan bulan dan masih belum mendapat penempatan memandangkan hanya 87 perjawatan kosong untuk diisi.

Tambahan pula, kadar atrisi Pegawai Pergigian pada tahun lepas hanya lapan peratus,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata, beberapa perbincangan telah dan akan diadakan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pihak swasta bagi mengkaji kaedah-kaedah lain bagi mengatasi isu penempatan Pegawai Pergigian.

Bagi menangani masalah penempatan graduan pergigian, Dr Noor Hisham berkata KKM juga mengurangkan tempoh menjalani khidmat wajib graduan pergigian di KKM iaitu daripada tiga tahun pada tahun 2001 kepada dua tahun pada 5 April 2012 dan seterusnya kepada setahun pada 1 Julai tahun lepas.

Beliau berkata, kini sebanyak 95 peratus graduan pergigian menjalani khidmat wajib di KKM, seperti yang terkandung di dalam Akta Pergigian 1971 di mana perkhidmatan awam ini merangkumi Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengajian
Tinggi dan Kementerian Pertahanan.

“Selaras dengan perkembangan semasa dan setelah mengambil kira pengeluaran graduan pergigian dari pelbagai universiti dalam dan luar negara, khidmat wajib ini juga dapat memastikan graduan dapat menyesuaikan diri dengan sistem kesihatan negara.

“Pengurangan tempoh khidmat wajib akan memberi peluang kepada Pegawai Pergigian untuk berkhidmat di sektor swasta dalam tempoh yang lebih singkat,” kata Dr Noor Hisham.

Bagi menangani masalah penempatan graduan pergigian, Dr Noor Hisham berkata sejak tahun 2012, panduan lantikan pegawai kontrak di KKM dikaji semula di mana KKM menamatkan lantikan Pegawai Pergigian kontrak bukan warganegara dan pesara bagi memberi laluan pekerjaan kepada graduan baharu.

Beliau juga berkata, mulai 1 Mac 2013, Moratorium Program Pergigian dikuat kuasa selama tempoh lima tahun sehingga 2018 dan satu daripada syarat yang terkandung dalam moratorium adalah mengehadkan jumlah pengambilan pelajar tempatan kepada 800 setahun. 

Credit to – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Call Now Button