Suasana sebak iringi kepulangan pelajar Malaysia terkandas

Suasana sebak dan pilu mengiringi perjalanan kira-kira 479 pelajar Malaysia yang terkandas di Mesir apabila mendengar bacaan doa oleh kru penerbangan pesawat Malaysia Airlines semasa misi membawa pulang mereka pada 20 April 2020.

MESIR – Suasana sebak dan pilu mengiringi perjalanan kira-kira 479 pelajar Malaysia yang terkandas di Mesir apabila mendengar bacaan doa oleh kru penerbangan pesawat Malaysia Airlines semasa misi membawa pulang mereka pada 20 April 2020.

Bacaan doa itu begitu meruntun jiwa kerana mereka terpaksa menunggu lama untuk pulang ke tanah air disebabkan pelbagai sekatan berpunca daripada wabak koronavirus (Covid-19).

“Ya ALLAH, kau lindungilah kami serta para penumpang penerbangan ini. Selamatkanlah kami daripada wabak Covid-19 di sepanjang perjalanan dan penerbangan kami.

“Ya ALLAH, kau berikanlah kesihatan yang baik, sihat walafiat kepada kami yang bertugas serta penumpang yang terdiri daripada pelajar-pelajar Medic Mesir dalam penerbangan ini.

 

Pelajar Malaysia yang terkandas di Mesir dibawa pulang menggunakan pesawat khas.

“Ya ALLAH, berikanlah kekuatan tenaga dan minda serta reda menjalankan tanggungjawab kepada rakyat, bangsa dan negara Malaysia yang tercinta.

“Ya ALLAH, kau permudahkanlah urusan dan tanggungjawab kami sehingga selamat tiba di KLIA, negaraku Malaysia tercinta.”

“Alhamdulillah, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.”

Reaksi pelajar jurusan pergigian dan perubatan itu kelihatan bercampur baur sebaik masuk ke dalam pesawat MH8453 Kaherah-Kuala Lumpur itu dikongsi MedicMesir serta seorang kru penerbangan di laman Facebook.

Rata-rata netizen yang terharu melihat rakaman itu memuji dan meninggalkan pelbagai komen positif di akaun laman sosial berkenaan.

Mereka menyatakan rasa bangga dengan usaha dilakukan Malaysia Airlines, selain juruterbang serta kru kabin yang kelihatan ikhlas melaksanakan misi berkenaan.

Antara pelajar MedicMesir yang terkandas dibawa pulang ke tanah air melalui pesawat khas Malaysia Airlines.

“Amiiin Ya ALLAH, Amiiin Ya Mujib. Semoga ALLAH SWT merahmati dan memberkati perjalanan pulang mereka semua dan tiba di malaysia dan pangkuan keluarga dalam keadaan sihat dan selamat. Terima kasih buat semua yg terlibat. Kita jaga kita, ALLAH jaga kita,” ucap Salbiah Sapar.

Deng DFour pula berkata, “Terbaik dan tahniah tuan dan team,” katanya.

Sementara itu, kru penerbangan berkenaan yang enggan dikenali berkata, doa itu dipanjatkan bagi memohon keselamatan juruterbang, kru kabin serta penumpang pesawat berkenaan.

“Biasanya doa dibaca ketika penerbangan membawa jemaah haji dan umrah ke Tanah Suci, tetapi kali ini situasinya amat berbeza kerana negara kita berdepan wabak Covid-19.

“Kita mampu memohon pertolongan ALLAH SWT supaya memudahkan perjalanan membawa pulang pelajar-pelajar ini dan Alhamdulillah, semuanya selamat tiba,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Difahamkan, pesawat yang ditempah khas itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6 petang semalam.

 

Sinar Harian (Kumpulan Karangkraf)
NOZINA YAHAYA | | 21 April 2020

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/79915/BERITA/Viral/Suasana-sebak-iringi-kepulangan-pelajar-Malaysia-terkandas

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Call Now Button